Ahad, 5 April 2015

Trip To Langkawi (Part 1)


Assalamualaikum w.b.t

Tarikh Kejadian : 15 - 17 Mac 2015

Hai! Bertemu kembali di ruang maya ini...Kali ini akan berkongsi kisah percutian geng-geng group whatsapp Throwback SMMS Batch 88 - 94. Sedikit lewat untuk memasukkan entry ini berikutan kesibukan yang melanda sekembalinya dari percutian...sekaligus membataskan ruang waktu untuk menulis...

Mengenang kembali bagaimana percutian ini boleh berlaku, semuanya bermula daripada cadangan untuk mengadakan perjumpaan bagi ahli-ahli group ni...yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada bekas pelajar perempuan Sekolah Menengah Mudzaffar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak batch 1988 - 1994. Pertemuan di group whatsapp menjalinkan kembali tali persahabatan biarpun ada di antaranya semasa sekolah dulu tak pernah bertegur sapa...

Bermula dari cakap-cakap kosong, tidak disangka trip ini berjaya dilaksanakan. Pelbagai kejadian berlaku di sepanjang tempoh melaksanakan trip ini daripada mula hingga ke saat-saat akhir...Perancangan awal bermula jika tak silap saya pada bulan September atau Oktober 2014. Beberapa kali tarikh tutup penyertaan ditunda bertujuan untuk menambah bilangan penyertaan. Daripada cadangan asal untuk menyewa bas akhirnya terpaksa tukar kepada pergi sendiri dan berjumpa di Langkawi sahaja. Tempat penginapan dan kenderaan berjaya diperolehi pada penghujung Januari 2015. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pakej yang cukup berbaloi...RM1,480.00 bagi 2 unit homestay dan 2 unit kenderaan MPV bagi penginapan selama 3 hari 2 malam. Kami dapat sebuah Avanza dan sebuah Exora yang masih baru...plastik pun belum habis dibuang :)

Kami menginap di Anif Airport Homestay dan Airport Homestay...kedua-duanya terletak bersebelahan dan dimiliki oleh pemilik yang sama. Sebenarnya dengan bilangan kami yang asalnya berjumlah 21 orang...akhirnya tinggal 13 orang boleh saja menginap hanya di sebuah homestay, tapi tak sampai hati pulak nak batalkan pada saat-saat akhir. So, kami kekalkan dengan apa yang telah ditempah...memang sangat selesa dan berbaloi...kebetulan pula ketika kami pergi persiapan dan latihan bagi LIMA 2015 sedang rancak berjalan.

GENG LEMBAH KLANG

Akhirnya hari yang dinanti dah tiba...kami yang seramai 13 orang kesemuanya terbahagi kepada 2 kumpulan...satu Geng Lembah Klang dan satu lagi Geng Utara. Geng Lembah Klang terdiri dari saya, Nor dan Saba. Saya dan Nor bergerak pada malam 14 Mac 2015 (Sabtu) dengan menaiki bas Plusliner jam 10.00 malam dari Putrajaya Sentral...singgah di Puchong dan seterusnya ke Pudu Sentral untuk mengambil penumpang. Saba menanti kami di sini.

Bas yang kami naiki berhenti di RNR Bukit Gantang...seterusnya di stesen bas Alor Setar dan Kangar untuk menurunkan penumpang sebelum sampai ke destinasi akhir di Kuala Perlis lebih kurang jam 6.00 pagi...awal setengah jam dari masa yang tertera pada jadual perjalanan. Alhamdulillah...setelah berjaya mendapatkan tiket feri pada jam 8.15 pagi (seawal 6.00 pagi dah beratur panjang), kami bertiga bergerak menuju ke Masjid Al Hussain, Kuala Perlis untuk solat Subuh. Angin laut bertiup sedikit kencang...sejuk tapi amat menyegarkan...Baca lebih lanjut tentang Masjid Al Hussain di SINI.

Perjalanan feri dari jeti Kuala Perlis ke Jeti Langkawi mengambil masa kira-kira 1 jam...kami sampai lebih kurang jam 9.30 pagi...singgah makan di food court dan kemudian pergi ke airport untuk menunggu ketibaan Geng Utara sebelum sama-sama check in di homestay.

Kami Geng Lembah Klang
GENG UTARA

Geng Utara seramai 10 orang diketuai oleh Along@Azita bersama-sama Ija dan dua adiknya, Ina, Eta dan puterinya, Azie, Iema dan Pah bergerak pada pagi 15 Mac 2015 (Ahad) menuju ke airport Bayan Lepas, Pulau Pinang. Mereka akan berkumpul di sana dan menaiki penerbangan Air Asia jam 11.30 pagi. Alhamdulillah, mereka selamat sampai di airport Langkawi lebih kurang jam 12.30 tengahari.

Geng Utara di Airport Bayan Lepas

Kami dijemput oleh Kak Rohani (owner homestay) dan suami...memandangkan tiada siapa di homestay ketika kami sampai maka dapatlah kami check in awal...

Bila dah berkumpul apalagi riuh rendah jadinya...bayangkan ada yang dah hampir 24 tahun tidak berjumpa...pertemuan yang sangat indah...kami yang dulunya dipisahkan oleh kelas dan aliran yang berbeza, dapat berkumpul bersama, bercerita tanpa ada sebarang perbezaan dan tembok halangan...sangat-sangat manis dan indah...

All of us at homestay

TRIP BERMULA...

Seterusnya, selepas mandi dan solat kami keluar untuk makan tengahari. Sebelum itu, seperti yang telah dipersetujui di dalam perbincangan melalui whatsapp kami telah bersetuju untuk membuat kutipan bagi tujuan makan dan perbelanjaan lain seperti petrol dan Pah telah dilantik untuk memegang amanah sebagai bendahari dan ketua chef :D

Kami makan di sebuah restoran Thai di jalan menghala ke Pantai Chenang...tak ingat dah nama restoran tu... makanannya sedap tapi sedikit mahal...so, akhirnya kami ambil keputusan untuk memasak sahaja bagi makan malam dan sarapan untuk baki hari kami berada di sini...lebih menjimatkan.

Selesai makan kami menuju ke destinasi pertama...Makam Mahsuri. Saya dah beberapa kali sampai di Langkawi...sekali secara peribadi dan first time bersama senior office lama dan selebihnya secara rasmi kerana menghadiri kursus dan program office. Kompleks Makam Mahsuri juga telah berubah wajah daripada kali pertama saya datang dulu...


Saba, Pah dan Ina

Saba, Nor dan Along

Sebahagian dari kami : Saba, Nor, Along, Ina, Azie dan saya

Saba, Nor, Along dan Pah

Adat Berendoi di dalam Rumah Mahsuri

Seterusnya kami ke Kompleks Beras Terbakar. Ini kunjungan pertama saya ke sini. Yang tinggal hanyalah kawasan yang dikatakan tempat kejadian beras terbakar yang telah dipagar. Tiada lagi beras yang dapat dikutip...hanya sepinggan yang diletakkan di dalam kotak kaca buat tatapan generasi akan datang...

Hanya ini yang tinggal

Tapak kawasan kejadian

Keluar dari kawasan Beras Terbakar kami singgah di kedai-kedai yang menjual kain batik, t-shirt dan cenderamata di situ. Ada yang membeli kain batik dan kain untuk baju raya termasuklah saya...daripada tidak mahu membeli apa-apa...akhirnya terbeli juga 2 helai kain batik songket yang sama warna tapi berlainan corak gara-gara ternampak satu kedai yang menggantung kedua-dua kain berkenaan di luar kedai sebagai display.

Kebetulan juga masa kami nak masuk ke kawasan Beras Terbakar ni terdapat pasar malam...jadi kami membeli barang untuk masak makan malam di sini. Tak sangka pula boleh bertemu dengan ex-student saya masa saya bergelar guru sementara dulu.

Selesai membeli-belah, kami kembali ke homestay. Menu kami malam ini adalah mihun tomyam...hasil tangan Chef Azie dan Chef Pah...makan sambil bersembang...macam-macam cerita yang keluar...cerita semasa zaman sekolah hinggalah kepada cerita semasa...

Alhamdulillah selesai aktiviti kami untuk hari pertama...

Akan bersambung...


Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru

 Assalamualaikum w.b.t 13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H Kad Raya Alaf Baru Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan ...