Ahad, 5 April 2015

Trip To Langkawi (Part 1)


Assalamualaikum w.b.t

Tarikh Kejadian : 15 - 17 Mac 2015

Hai! Bertemu kembali di ruang maya ini...Kali ini akan berkongsi kisah percutian geng-geng group whatsapp Throwback SMMS Batch 88 - 94. Sedikit lewat untuk memasukkan entry ini berikutan kesibukan yang melanda sekembalinya dari percutian...sekaligus membataskan ruang waktu untuk menulis...

Mengenang kembali bagaimana percutian ini boleh berlaku, semuanya bermula daripada cadangan untuk mengadakan perjumpaan bagi ahli-ahli group ni...yang mana ahli-ahlinya terdiri daripada bekas pelajar perempuan Sekolah Menengah Mudzaffar Shah, Simpang Empat, Semanggol, Perak batch 1988 - 1994. Pertemuan di group whatsapp menjalinkan kembali tali persahabatan biarpun ada di antaranya semasa sekolah dulu tak pernah bertegur sapa...

Bermula dari cakap-cakap kosong, tidak disangka trip ini berjaya dilaksanakan. Pelbagai kejadian berlaku di sepanjang tempoh melaksanakan trip ini daripada mula hingga ke saat-saat akhir...Perancangan awal bermula jika tak silap saya pada bulan September atau Oktober 2014. Beberapa kali tarikh tutup penyertaan ditunda bertujuan untuk menambah bilangan penyertaan. Daripada cadangan asal untuk menyewa bas akhirnya terpaksa tukar kepada pergi sendiri dan berjumpa di Langkawi sahaja. Tempat penginapan dan kenderaan berjaya diperolehi pada penghujung Januari 2015. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan pakej yang cukup berbaloi...RM1,480.00 bagi 2 unit homestay dan 2 unit kenderaan MPV bagi penginapan selama 3 hari 2 malam. Kami dapat sebuah Avanza dan sebuah Exora yang masih baru...plastik pun belum habis dibuang :)

Kami menginap di Anif Airport Homestay dan Airport Homestay...kedua-duanya terletak bersebelahan dan dimiliki oleh pemilik yang sama. Sebenarnya dengan bilangan kami yang asalnya berjumlah 21 orang...akhirnya tinggal 13 orang boleh saja menginap hanya di sebuah homestay, tapi tak sampai hati pulak nak batalkan pada saat-saat akhir. So, kami kekalkan dengan apa yang telah ditempah...memang sangat selesa dan berbaloi...kebetulan pula ketika kami pergi persiapan dan latihan bagi LIMA 2015 sedang rancak berjalan.

GENG LEMBAH KLANG

Akhirnya hari yang dinanti dah tiba...kami yang seramai 13 orang kesemuanya terbahagi kepada 2 kumpulan...satu Geng Lembah Klang dan satu lagi Geng Utara. Geng Lembah Klang terdiri dari saya, Nor dan Saba. Saya dan Nor bergerak pada malam 14 Mac 2015 (Sabtu) dengan menaiki bas Plusliner jam 10.00 malam dari Putrajaya Sentral...singgah di Puchong dan seterusnya ke Pudu Sentral untuk mengambil penumpang. Saba menanti kami di sini.

Bas yang kami naiki berhenti di RNR Bukit Gantang...seterusnya di stesen bas Alor Setar dan Kangar untuk menurunkan penumpang sebelum sampai ke destinasi akhir di Kuala Perlis lebih kurang jam 6.00 pagi...awal setengah jam dari masa yang tertera pada jadual perjalanan. Alhamdulillah...setelah berjaya mendapatkan tiket feri pada jam 8.15 pagi (seawal 6.00 pagi dah beratur panjang), kami bertiga bergerak menuju ke Masjid Al Hussain, Kuala Perlis untuk solat Subuh. Angin laut bertiup sedikit kencang...sejuk tapi amat menyegarkan...Baca lebih lanjut tentang Masjid Al Hussain di SINI.

Perjalanan feri dari jeti Kuala Perlis ke Jeti Langkawi mengambil masa kira-kira 1 jam...kami sampai lebih kurang jam 9.30 pagi...singgah makan di food court dan kemudian pergi ke airport untuk menunggu ketibaan Geng Utara sebelum sama-sama check in di homestay.

Kami Geng Lembah Klang
GENG UTARA

Geng Utara seramai 10 orang diketuai oleh Along@Azita bersama-sama Ija dan dua adiknya, Ina, Eta dan puterinya, Azie, Iema dan Pah bergerak pada pagi 15 Mac 2015 (Ahad) menuju ke airport Bayan Lepas, Pulau Pinang. Mereka akan berkumpul di sana dan menaiki penerbangan Air Asia jam 11.30 pagi. Alhamdulillah, mereka selamat sampai di airport Langkawi lebih kurang jam 12.30 tengahari.

Geng Utara di Airport Bayan Lepas

Kami dijemput oleh Kak Rohani (owner homestay) dan suami...memandangkan tiada siapa di homestay ketika kami sampai maka dapatlah kami check in awal...

Bila dah berkumpul apalagi riuh rendah jadinya...bayangkan ada yang dah hampir 24 tahun tidak berjumpa...pertemuan yang sangat indah...kami yang dulunya dipisahkan oleh kelas dan aliran yang berbeza, dapat berkumpul bersama, bercerita tanpa ada sebarang perbezaan dan tembok halangan...sangat-sangat manis dan indah...

All of us at homestay

TRIP BERMULA...

Seterusnya, selepas mandi dan solat kami keluar untuk makan tengahari. Sebelum itu, seperti yang telah dipersetujui di dalam perbincangan melalui whatsapp kami telah bersetuju untuk membuat kutipan bagi tujuan makan dan perbelanjaan lain seperti petrol dan Pah telah dilantik untuk memegang amanah sebagai bendahari dan ketua chef :D

Kami makan di sebuah restoran Thai di jalan menghala ke Pantai Chenang...tak ingat dah nama restoran tu... makanannya sedap tapi sedikit mahal...so, akhirnya kami ambil keputusan untuk memasak sahaja bagi makan malam dan sarapan untuk baki hari kami berada di sini...lebih menjimatkan.

Selesai makan kami menuju ke destinasi pertama...Makam Mahsuri. Saya dah beberapa kali sampai di Langkawi...sekali secara peribadi dan first time bersama senior office lama dan selebihnya secara rasmi kerana menghadiri kursus dan program office. Kompleks Makam Mahsuri juga telah berubah wajah daripada kali pertama saya datang dulu...


Saba, Pah dan Ina

Saba, Nor dan Along

Sebahagian dari kami : Saba, Nor, Along, Ina, Azie dan saya

Saba, Nor, Along dan Pah

Adat Berendoi di dalam Rumah Mahsuri

Seterusnya kami ke Kompleks Beras Terbakar. Ini kunjungan pertama saya ke sini. Yang tinggal hanyalah kawasan yang dikatakan tempat kejadian beras terbakar yang telah dipagar. Tiada lagi beras yang dapat dikutip...hanya sepinggan yang diletakkan di dalam kotak kaca buat tatapan generasi akan datang...

Hanya ini yang tinggal

Tapak kawasan kejadian

Keluar dari kawasan Beras Terbakar kami singgah di kedai-kedai yang menjual kain batik, t-shirt dan cenderamata di situ. Ada yang membeli kain batik dan kain untuk baju raya termasuklah saya...daripada tidak mahu membeli apa-apa...akhirnya terbeli juga 2 helai kain batik songket yang sama warna tapi berlainan corak gara-gara ternampak satu kedai yang menggantung kedua-dua kain berkenaan di luar kedai sebagai display.

Kebetulan juga masa kami nak masuk ke kawasan Beras Terbakar ni terdapat pasar malam...jadi kami membeli barang untuk masak makan malam di sini. Tak sangka pula boleh bertemu dengan ex-student saya masa saya bergelar guru sementara dulu.

Selesai membeli-belah, kami kembali ke homestay. Menu kami malam ini adalah mihun tomyam...hasil tangan Chef Azie dan Chef Pah...makan sambil bersembang...macam-macam cerita yang keluar...cerita semasa zaman sekolah hinggalah kepada cerita semasa...

Alhamdulillah selesai aktiviti kami untuk hari pertama...

Akan bersambung...


Khamis, 12 Mac 2015

Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2015


Assalamualaikum w.b.t



Untuk sekian kalinya Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya 2015 akan berlangsung pada 12 - 15 Mac 2015 di Monumen Alaf baru, Presint 2, Putrajaya. Untuk mengetahui aktiviti yang berlangsung di sepanjang festival boleh layari Portal Rasmi Perbadanan Putrajaya.

Hingga jumpa lagi

Reunion Dan Meraikan Pengantin Baru


Assalamualaikum w.b.t

Kejadian berlaku pada 25 Disember 2014...kucoretkan jua di sini sebagai kenangan...

Tatkala menerima kad daripada bakal pengantin melalui aplikasi whatsapp di Group Whatsapp Throwback SMMS btch 88-94, dah terdengar-dengar suara-suara yang mengajak untuk ber"reunion"...hehehe...tak habis-habis kan...walaupun setiap hari bertemu dan berbicara di ruang maya...manakan sama dengan bersua muka dan bertentang mata di alam nyata...

25 Disember 2014...bersamaan hari Khamis, memang la hari cuti umum sempena perayaan Krismas...persoalan yang bermain di minda saya...bolehkan saya bercuti? Hujung tahun tu...dan kebiasaannya memang sibuk dengan tugas-tugas untuk proses penutupan akaun kewangan kerajaan. Tak sampai hati nak bercuti dan meninggalkan team saya bertungkus-lumus di pejabat. Akhirnya saya nyatakan pada bakal si ratu sehari...In Shaa Allah...kalau diizinkan Allah adalah saya nanti di majlis beliau...

Akhirnya memang Allah mentakdirkan rezeki saya untuk bersama-sama meraikan beliau dan bertemu kawan-kawan...Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) mengumumkan tiada tempoh Akaun Kena Bayar (AKB) pada tahun 2014...semua transaksi akan berakhir pada 24 Disember 2014...haa...apalagi terus beli tiket...petang 24hb ambil half day...malamnya dah selamat berada di kampung halaman :)

Pasangan raja dan ratu sehari



Kami-kami yang hadir mengecohkan majlis

Kepada pasangan pengantin Huzaimah dan suami, selamat menempuh alam berumahtangga...semoga kalian berbahagia dan hubungan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Hingga jumpa lagi

Sabtu, 7 Mac 2015

Mini Reunion ex-SMMS 1975 (Batch 2)


Assalamualaikum w.b.t

Tarikh Kejadian : 17 Januari 2014 bersamaan hari Jumaat jam 5.00 petang
Lokasi : SBK Wisma Corner Steamboat & Steak, Lot 331, Jalan Istana Larut, Taiping, Perak.

Rentetan Mini Reunion yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya...timbul pulak idea untuk mengadakan mini reunion yang kedua. Lokasi yang dicadangkan ialah di sekitar Taiping bagi memberi peluang kepada kawan-kawan yang menetap di kampung halaman dan kawasan sekitar untuk menyertainya.

Saya yang pada mulanya tak la beria sangat nak turut serta akhirnya bertukar fikiran...gigih seawal pagi sesudah subuh keluar rumah...park kereta di Putrajaya Sentral dan balik ke kampung dengan bas jam 8.00 pagi, sampai Taiping jam 12.00 tengahari...demi sokongan dan nak jumpa kawan-kawan...

Dan di sini kami akhirnya...

Sedang menjamu selera...semua makanan dan minuman ditaja oleh tuan inspektor (di tengah-tengah)...thanks Ali...datang tanpa confirmation kehadiran...surprise untuk kawan-kawan katanya... :)

Wajah-wajah ceria

Pengarah Projek : saudara Abu Bakar (bertopi dan berkaca mata)

Terjumpa Cikgu Wan Salleh yang singgah order sate di lokasi dengan wife beliau...guru disiplin kami yang digeruni di SMMS...cikgu Matematik saya masa form 3...bila beliau mengajar semua diam menikus...takut kena jerkah...hihihi

Dari kiri : Nazirah, Norliza dan Noor Azimah

Haslina, Jamaliah dan Kamariah

Roslina, Fazimahwatti dan Haslina

Noor Azimah, Norashikin dan Aishah (wife Ali)

Yang wanitanya...

Kami semua...

Dari jam 5.00 petang hingga hampir Maghrib...itupun rasanya tak habis cerita yang dikisahkan...dah ada yang bersuara...bila nak buat mega reunion? In Shaa Allah...bakal menyusul nanti...
Itulah kisah kami...

Hingga jumpa lagi...



Ahad, 22 Februari 2015

Hidup Ini Saling Tumpang-Menumpang...


Assalamualaikum w.b.t

Dalam mengenang kembalinya ke rahmatullah Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat pada tanggal 12 Februari 2015 bersamaan 22 Rabiulakhir 1436H...


Hidup ini saling tumpang-menumpang...

"Sedarilah...
Hidup ini saling tumpang-
menumpang...
Di sini lahirnya rasa syukur kita.

Pada sepinggan nasi
yang kita makan,
disitulah ada nasi
yang diusahakan oleh petani.

Ada ikan yang dicari
oleh nelayan,
ada ayam yang dipelihara
oleh penternak.

Bayangkan...
betapa banyaknya
pihak yang bekerja
untuk sepinggan nasi buat kita.
Alangkah kerdilnya kita ini
di bumi ALLAH.

(Dipetik daripada buku Bicara Ini Demi Ilahi halaman 24, karya Almarhum Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat)


Ahad, 8 Februari 2015

Mini Reunion


Assalamualaikum w.b.t

*Cerita dah lama...kucoretkan jua buat kenangan...

"Jom kita buat reunion...". Itulah cetusan idea spontan dari seorang ahli group Whatsapp SMMS 1975 yang membawa kepada pertemuan semula ini. Kejadian berlaku pada 29 Disember 2013 yang lalu di Kelab Tasik Putrajaya. Perancangan asalnya nak dibuat pada 25 Disember...kebetulah hari tu merupakan cuti umum sempena hari Krismas...akhirnya ditukar pada 29 Disember berikutan "Project Manager" kena entertain client pada 25 Disember tu...

Tiba hari yang dinanti...rasa teruja menanti saat pertemuan...apa tidaknya...dah lebih 20 tahun tidak pernah bertemu setelah masing-masing meninggalkan alam persekolahan...bertemu dan berbicara pun hanya di ruang maya takkan sama dengan di alam realiti...



Ini sajalah gambar yang ada...dek keterujaan bertemu dan bercerita hingga lupa nak bergambar. (Gambar ehsan daripada Baharin).

Special thanks to Alon (Mohd Nazrolnizam Abdul Mutalib), Baharin (Fazlizal Baharin Yazid), Aya (Rohaya Mat Saad), Ita (Rozita Mohd Yusof) dan Nor (Norsilawati Kamarulzaman) sekeluarga yang sudi melapangkan diri untuk menjayakan program mini reunion ini. Walaupun yang datang tak ramai tapi meriah dan gamatnya suasana bagaikan berpuluh-puluh orang...bercerita dan ketawa tak henti-henti...mengimbau kenangan pahit dan manis zaman persekolahan...ada yang masih ingat kedudukan dalam kelas masa form 5...hebat betul memori kawan-kawanku ini...

Harapanku semoaga pertemuan pertama ini menjadi perintis kepada program-program yang berikutnya bagi ahli-ahli group ini dan dapat mengeratkan kembali ikatan silaturrahim yang telah terjalin ketika di alam persekolahan...In Shaa Allah...

Hingga bersua kembali...

Jumaat, 6 Februari 2015

Membersih Semak-Samun...


Assalamualaikum w.b.t

Aduh! Lama sungguh saya tidak mengemaskini dan memasukkan entri baru ke dalam blog ni...
Malas...tidak juga kerana saban hari saya masih menjengah ke sini walaupun tiada entri baru dimasukkan...lebih kepada masalah teknikal dan dek kerana sibuk dengan tugasan seharian...

In Shaa Allah...mudah-mudahan ini sebagai permulaan baru untuk lebih aktif menulis selepas ini :)

Hingga jumpa lagi...

Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru

 Assalamualaikum w.b.t 13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H Kad Raya Alaf Baru Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan ...