Sabtu, 15 Mei 2021

Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru

 Assalamualaikum w.b.t

13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H

Kad Raya Alaf Baru

Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan. Kali kedua menyambut ketibaan Syawal di perantauan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Kerajaan berikutan kes positif Covid 19 yang semakin melonjak naik di hari-hari akhir Ramadan. Bimbang kes semakin meningkat jika dibenarkan merentas daerah dan negeri dan mewujudkan kluster-kluster baru memaksa Kerajaan melaksanakan semula PKP di seluruh negara.

Perasaan sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung meraikan bersama ibu tersayang dan ahli keluarga yang lain memang tidak dapat dinafikan tapi demi kebaikan bersama maka terpaksa berkorban menahan kerinduan. Hari Raya Aidilfitri tetap disambut seadanya di rumah sendiri kerana aktiviti ziarah-menziarahi juga tidak dibenarkan. Alhamdulillah, kali ini berkesempatan berkongsi rezeki (juadah raya) dengan jiran searas dan beberapa sahabat yang berdekatan.

Rezeki dikongsi bersama
Juadah raya untuk jiran-jiran

Gambar Raya kat trek jogging tepi rumah 😊
Dengan Encik Suami
Dalam Rumah

Selamat Hari Raya Aidilfitri...
Maaf zahir batin...
Sama-sama jaga diri di musim pandemik...
Semoga Allah melindungi...

Hingga jumpa lagi...


Isnin, 1 Mac 2021

Trip 2016 : Jalan-Jalan Ke Sabah - Part 1 Day 2


Assalamualaikum w.b.t

Day 2 : 9/12/2016

Hari kedua di Kundasang...jam 4.00 pagi aku telah bangun...tidak boleh tidur balik gara-gara kesejukan. Aku bangun mengemas dapur di dalam kedinginan pagi yang menggigit hingga ke tulang hitam ditemani sang kucing gebu yang masuk melalui celahan lubang di dapur homestay.

Sang mentari pagi mula menyinari
Suasana pagi di perkarangan Salman Homestay

Selepas mandi, solat subuh dan bersarapan dengan bihun goreng, telur mata yang dimasak pada sebelah malamnya, Wan mengajak kami untuk pergi melihat Gunung Kinabalu...katanya kena pergi awal pagi, nanti orang ramai susah nak bergambar. Haha...memang betul kerana semasa kami sampai pengunjung lain sudah pun ramai berada di situ. Susah juga hendak mengambil gambar kami sahaja tanpa terselit dengan pengunjung-pengunjung lain.

Berlatar belakangkan Gunung Kinabalu

Awan berarak menutupi gunung
Puncak Kinabalu yang telah berubah berikutan gempa bumi yang berlaku pada 5 Jun 2015.

Setelah puas bergambar, kami kembali ke homestay untuk mengambil barang dan check out. Sebelum bergerak sempat lagi bergambar di sekitar homestay.

Tempat-tempat yang boleh dilawati di sekitar Ranau dan Kundasang
Air terjun yang cantik berdekatan homestay
Di hadapan homestay
Indah ciptaan Allah

Di hadapan jalan masuk ke Salman Homestay

Geng kaki jalan kali ni

Seterusnya kami bergerak menuju ke Kundasang War Memorial...ikutkan Wan, katanya tiada apa di sini tapi bagi kami pula, alang-alang dah sampai dan bukan senang untuk kami kembali ke sini...jadinya dia tinggalkan kami untuk masuk sendiri dan maklumkan dia bila sudah selesai.

Kundasang War Memorial (Tugu Peringatan Perang Kundasang) ini mula dibina pada tahun 1960 dan siap sepenuhnya pada tahun 1963. Tugu ini dibina bertujuan untuk memperingati dan menghormati tentera-tentera Australia dan Inggeris yang telah terkorban dalam peristiwa Sandakan - Ranau Death Marches 1945. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghargai jasa penduduk tempatan yang juga turut terkorban ketika memberi bantuan kepada tahanan perang tersebut.

Kundasang War Memorial ini terletak di Pekan Kundasang dan sejauh 55 km dari Bandaraya Kota Kinabalu. 

Sumber : Wikipedia.org

Taman Australia
Taman Inggeris
Taman Borneo
Perkampungan penduduk

Setelah turun daripada Kundasang War Memorial, kami berjalan sambil melihat-lihat sebentar di dalam tamu (pasar) yang diadakan di situ. Kami dimaklumkan yang Salman (pemilik homestay) ada berniaga nasi lemak di situ pada hari itu tetapi kami tidak berjumpa pula dengan beliau. Ayah Salman ni berasal daripada Banting, Selangor dan merupakan seorang pesara guru manakala ibunya merupakan anak jati Sabah.

Destinasi lawatan kami berikutnya adalah Luanti Fish Spa yang terletak di Kampung Tagal, Sungai Moroli, Kampung Luanti di dalam daerah Ranau. Tagal bermakna "tidak memancing" dalam dialek tempatan Kadazan Dusun dan ia adalah satu usaha kolektif dari masyarakat tempatan dan kerajaan untuk memelihara alam sekitar dan ekosistem sungai.

Ikan di sini dibiarkan hidup bebas dan kebanyakannya adalah jenis ikan pelian atau ikan kelah yang hidup dalam habitat semulajadi mereka. Sebaik sahaja kami masuk ke dalam sungai, ikan-ikan ini datang di sekeliling kami dan menggigit lapisan kulit yang mati pada kaki. Terasa sakit dan geli apabila mulut ikan ini menyedut kaki dan betis. Setiap pengunjung diperuntukkan masa selama 15 minit sahaja untuk merasai rawatan spa oleh ikan. Pengunjung juga boleh memberi makanan kepada ikan-ikan tersebut dengan membeli makanan yang disediakan di kaunter tiket.


Dari Tagal Luanti ini, kami seterusnya dibawa ke Kawasan Air Panas Poring dan Wan meninggalkan kami di sini sementara beliau pergi ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat Jumaat. Kolam air ini begitu terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar negara. Ia terletak di tanah rendah dan terbentuk oleh aktiviti gunung berapi kurang aktif jauh di perut bumi. Para pengunjung boleh memilih untuk berendam di kolam-kolam air panas yang terbuka atau tertutup. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa air panas yang mengandungi sulfur dan pelbagai garam mineral lain ini mempunyai khasiat kesihatan dan mampu menyegarkan badan dan sendi-sendi yang lenguh serta merawat penyakit kulit.


Kami hanya duduk-duduk di sini sambil makan makanan yang dibeli di tamu berdekatan Kundasang War Memorial sebelum ini. Hasrat untuk bersiar-siar di Taman Kupu-kupu dan menaiki Jambatan Kanopi yang terdapat di situ juga terpaksa dibatalkan apabila melihatkan keadaan cuaca yang seperti mahu hujan. Seterusnya kami menunaikan solat Zohor di surau sementara menanti Wan datang mengambil kami untuk ke destinasi seterusnya.

Tempat memproses dan penjualan produk tenusu
Bagi makan lembu
Kami meninggalkan Kawasan Air Panas Poring lebih kurang pada jam 2.30 petang. Destinasi kami seterusnya adalah ke Desa Cattle Dairy Farm sebuah ladang tenusu dari jenis lembu Friesians yang terletak di kaki Gunung Kinabalu di Mesilou, Kundasang. Ia juga dikenali sebagai Little New Zealand di kalangan penduduk tempatan kerana pemandangannya yang menakjubkan, cuaca yang sejuk serta padang rumput yang menghijau seperti di New Zealand. 

Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini seperti menikmati produk-produk jualan di kiosk jualan Desa Dairy Farm seperti produk susu segar DESA, pelbagai jenis keju, DESA pizza, DESA gelato, DESA fried pop corn chicken dan banyak lagi termasuk cenderahati Desa Dairy Farm. Pengunjung juga boleh menikmati pemandangan dan suasana yang sejuk dan menyegarkan, meninjau sesi pemerahan yang dibuat pada jam 2.00 - 4.00 petang setiap hari, meninjau kawasan cow barn daripada tapak tinjauan yang disediakan untuk pelawat serta melawat dan menjalankan aktiviti di tapak aktiviti agro termasuk memberi makan rumput dan minum susu kepada anak lembu dan kambing.

Kami masing-masing membeli susu segar untuk dirasa dan dibawa balik ke Kota Kinabalu.


Akhirnya sampailah masa untuk kami kembali ke Kota Kinabalu (KK). Di pertengahan jalan, tiba-tiba kami melalui jalan yang diselubungi dengan kabus. Wan memberhentikan kereta di tepi jalan untuk membolehkan kami bergambar di sini. Katanya ini rezeki kami dapat menikmati fenomena berkabus begini yang jarang-jarang berlaku...bagaikan berada di luar negara...hanya tiada salji yang turun 😂

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke KK diiringi dengan hujan di sepanjang perjalanan. Kami sampai di KK lebih kurang pada jam 7.00 petang. Kami singgah di rumah sewa Wan untuk mengambil beg-beg yang ditinggalkan dan seterusnya Wan menghantar kami ke D'Azzam Homestay yang terletak di Cyber City Apartment, Kepayan. 

Sebelum sampai ke homestay, kami singgah sebentar di kedai runcit berhampiran untuk membeli bahan mentah untuk dimasak sebagai makan malam kami. Wan pula bermurah hati memberikan beras untuk dimasak. Sementara menunggu makanan malam kami siap dimasak, ada yang mengambil kesempatan membasuh pakaian sementelah ada mesin basuh disediakan.

Makan malam kami...nasi putih, ketam masak cili, ikan goreng, kepak ayam (beli) dan sayur yang dibeli di Pekan Nabalu di Kundasang.



Hingga berjumpa di entri akan datang...

Jumaat, 13 Mac 2020

Family Day BKP 2020

Assalamualaikum w.b.t

Pada 29.02.2020 (Sabtu) bertempat di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor telah berlangsung dengan jayanya Hari Keluarga, Bahagian Khidmat Pengurusan, Jabatan Perangkaan Malaysia (Ibu Pejabat). Alhamdulillah, setelah sekian tahun tidak diadakan Hari Keluarga, pada tahun ini ia berjaya direalisasikan dengan penuh kemeriahan.

Encik Suami yang terpaksa ikut dan meninggalkan JAPEN Football Team beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak MAKSWIP tanpa pengurus berikutan pertindihan tarikh :D

Banner Program

Acara Famili : Fashion Show

Macam-macam gelagat

Tekun betul menyiapkan rekaan fesyen

Masa untuk mencari pemenang

Acara Dewasa : Hantar gelang getah dengan straw

Lari Ikat Kaki

Acara Dewasa : Mandi Tepung

Dah selesai...penuh tepung di tudung

Pelbagai acara disediakan oleh Ahli Jawatankuasa...antaranya pertandingan mewarna untuk anak-anak, permainan lambung kasih, lari ikat kaki, mencari harta karun, mandi tepung dan hantar gelang getah menggunakan straw minuman untuk dewasa, isi air dalam botol untuk kanak-kanak dan acara keluarga...mereka dan memperaga fesyen daripada kertas surat khabar.

Pertandingan Mewarna Kanak-kanak

Permainan Lambungan Kasih

Menang permainan Mencari Harta Karun

Lucky Draw (Tukar Hadiah)

Isi dalam beg...terima kasih kepada yang memberi

Bergambar beramai-ramai sebelum bersurai

Terima kasih boss yang sporting, para AJK yang bertungkus-lumus bagi memastikan program berjalan lancar serta semua warga BKP dan keluarga yang menyertai. Sesekali keluar daripada ruang lingkup ofis memang menyeronokkan. Masa inilah berpeluang dapat mengenali dengan lebih rapat anggota-anggota di unit-unit lain. Semoga akan ada lagi aktiviti seperti ini di masa-masa akan datang.

Hingga jumpa lagi... 


Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru

 Assalamualaikum w.b.t 13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H Kad Raya Alaf Baru Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan ...