Selasa, 15 Mei 2012
Guru Oh Guru...
Assalamualaikum w.b.t
Sajak ini didedikasikan khas buat semua guru yang pernah mengajar saya di SK Kampung Tua, Simpang Ampat, Semanggol (1982-1987), SMK Mudzaffar Shah, Simpang Ampat, Semanggol (1988-1991, 1993-1994) dan SMK Sri Perak, Parit Buntar (1991-1992)...jasa kalian dikenang sentiasa. Buat sahabat-sahabat pembaca yang bergelar guru...semoga sentiasa tabah dan bersemangat dalam mendidik anak bangsa...Selamat Hari Guru buat semua...
Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Terkenang semasa dahulu... Sajak ni istimewa di hati saya kerana pernah saya deklamasikan semasa sambutan Hari Guru 1992 di SMK Sri Perak, Parit Buntar...:)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru
Assalamualaikum w.b.t 13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H Kad Raya Alaf Baru Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan ...
-
Assalamualaikum w.b.t Pada 29.02.2020 (Sabtu) bertempat di Paya Indah Wetland, Dengkil, Selangor telah berlangsung dengan jayanya Hari Kel...
-
Assalamualaikum w.b.t. Dalam minggu cuti Tahun Baru Cina baru-baru ni ramai betul orang buat kenduri kahwin, bertunang dan sebagainya term...
-
Assalamualaikum w.b.t Entri sambungan... HARI KETIGA Pagi-pagi lagi Iema dan Pah menghantar Eita dan anaknya yang akan pulang ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan