Khamis, 9 Mac 2017

Abah telah tiada...


Assalamualaikum w.b.t

Tanggal 14 Februari 2017/Selasa
bersamaan 17 Jamadilawal 1438H...

Jam 6.30 pagi...seperti biasa aku dah siap untuk ke ofis. Aku beritahu suami yang aku nak pergi awal sebab hari ni ada lawatan EKSA dari JPA...kebetulan petang semalamnya aku tinggalkan meja dengan tak begitu kemas sebab balik agak lewat. 

Tak lama menunggu bas D33 pun sampai. Baru duduk telefonku berbunyi...kulihat panggilan dari adik keduaku yang tinggal di Shah Alam...aku putuskan panggilan sebab radio bas dipasang agak kuat...susah nak dengar nanti. Aku taip mesej nak beritahu nanti sampai ofis aku akan call balik...tak habis mesej aku taip telefon berdering lagi, aku putuskan lagi...kali ketiga deringan akhirnya aku angkat juga. Terdengar suara adikku di hujung talian bertanya aku di mana...hairan jugak aku dibuatnya. Aku beritahu yang aku dah on the way ke ofis...aku tanya kenapa? Dia kata..."tak payah pegi ofislah...abah dah tak dak...".

Aku tergamam seketika...benarkah berita yang diterima? Tak lama kemudian mesej daripada adikku di kampung menyusul mengesahkan kebenaran berita yang diterima sebelumnya. Baru malamnya aku berbincang dengan adik bongsuku yang kami bercadang untuk balik kampung pada hari Jumaat nanti selepas ofis...kebetulan pula suami akan bertugas di luar kawasan.

Aku hantar mesej kepada suami yang masih berada di rumah...sekaligus berpesan supaya bawakan sehelai dua pakaian dan terus menuju ke Putrajaya Sentral...aku menunggu dia di sana. Itu saja yang terlintas dalam fikiranku...lebih mudah dan cepat kami balik menaiki ETS dari KL Sentral...aku dah tak mampu nak memandu...berjalan pun dirasakan sudah tak jejak ke bumi. Sementara menunggu suami sampai aku hantar mesej kepada group whatsapp ofis, kawan-kawan sekolah, famili, famili mertua dan lain-lain...memaklumkan akan pemergian abah...ramai yang terkejut...manakan tidak, abah nampak sihat sahaja malah siang sebelum pemergiannya, abah masih lagi mengulit pokok-pokok tanamannya di luar rumah.

Alhamdulillah...perjalanan aku dan suami ke kampung dipermudahkan...kami berjaya menaiki ETS pada jam 9.45 pagi dan sampai di Taiping jam 1.00 petang. Adikku dari Shah Alam juga telah sampai sedikit awal dari kami. Sampai di rumah, jenazah abah telah siap dimandikan dan sedang dikafankan. Aku tatap wajah abah yang tenang seolah dalam kondisi tidurnya yang biasa...tapi tatkala menyentuh tubuhnya yang dingin dan kaku, aku tahu abah tak akan bangun lagi sehinggalah sampai ketika manusia semua akan dibangunkan kembali di hari pembalasan kelak.

Jenazah abah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tua, Semanggol...tanah tempat abah dilahirkan dan dibesarkan...tidak disangka tercapai jua impian abah untuk disemadikan di situ...

Di pagi yang hening tatkala insan masih dibuai mimpi...abah telah kembali kepada Penciptanya pada usia 75 tahun 4 bulan 14 hari...pemergian yang tidak dijangka namun perlu diredhai...kerana kita semua akan menyusul jua bila telah sampai masa dan ketikanya nanti...

Abah bersama cucu kedua

Abah bersama cucu sulung

Di Muzium Arkeologi Lenggong

Kenangan tahun 2011

Kenangan Hari Raya Puasa Tahun 2014

Tenanglah abah di sana...di hentian dan tempat istirehat sementara, sebelum meneruskan perjalanan ke negeri abadi...yang tinggal harus meneruskan kehidupan sehingga sampai hari akan dijemput jua nanti...pada saat coretan ini ditaip telah 3 minggu abah pergi tapi wajah akhir abah sering hadir di ruang mata, menggamit rindu yang tidak bertepi...

Tuhan...kurniakanlah aku dengan ketabahan untuk meneruskan hidup tanpa seorang abah...demi mak dan adik-adik...

Dalam ingatan dan kenangan...
RAMAZAN BIN HAJI AMRI
01.12.1941 - 14.02.2017


Tiada ulasan:

Eid Mubarak 1442H - Sambutan Aidilfitri Dalam PKP dan Norma Baru

 Assalamualaikum w.b.t 13 Mei 2021 / 1 Syawal 1442H Kad Raya Alaf Baru Alhamdulillah...Syawal datang lagi setelah sebulan berpuasa di bulan ...